Uncategorized

KPKM teliti cadangan elak monopoli pembekalan baja bersubsidi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti cadangan melaksanakan sistem pembekalan dan penghantaran input pertanian bersubsidi melalui persaingan terbuka.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang sama rata kepada semua pengilang baja, termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk menyertai tender terbuka sekiranya kaedah tersebut dilaksanakan kelak.

“Pada masa ini, pembekalan input pertanian bersubsidi kepada pesawah dilakukan oleh NAFAS sebagai pembekal tunggal yang dilantik kerajaan.

“NAFAS juga mempunyai rangkaian organisasi pembekalan yang lengkap, termasuk di peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebagai jentera di lapangan dan stokis untuk pembekalan input pertanian tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Mohamad turut berkata, KPKM mengambil maklum cadangan pelbagai pihak untuk melaksanakan kaedah persaingan terbuka dengan matlamat mengelakkan monopoli dalam pembekalan baja bersubsidi.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob berkata, tidak wujud istilah kartel atau monopoli dalam pengurusan pembekalan baja bersubsidi oleh pertubuhan tersebut.

“Pembekalan baja dibuat melalui rantaian Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan. Baja yang dibekalkan oleh NAFAS akan dihantar kepada pesawah berdaftar sebagai ahli peladang melalui rantaian itu,” katanya lagi.

Beliau berkata,sistem itu bertujuan memastikan proses penghantaran baja bersubsidi berjalan lancar dan pesawah menerima bekalan mengikut keperluan.

“Cadangan pelaksanaan sistem persaingan terbuka itu dilihat sebagai usaha meningkatkan ketelusan dan kecekapan, namun pelaksanaannya memerlukan penelitian terperinci dengan mengambil kira pandangan semua pihak terlibat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button