Sindiket seludup dadah ke Indonesia tumpas, dua individu ditahan
SHAH ALAM – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah ke luar negara selepas menahan seorang lelaki tempatan dan wanita warga Indonesia yang bertindak sebagai penghantar serta penjaga stor dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kedua-dua suspek ditahan pada 21 November lalu di sebuah rumah tumpangan di Sekinchan selepas serbuan dilakukan.
“Hasil serbuan itu, polis menemui kira-kira 83.15 gram bahan disyaki syabu di dalam bilik yang didiami suspek,” katanya pada sidang media semalam.
Kok Chin berkata, suspek lelaki kemudiannya membawa polis ke sebuah kereta yang diletakkan di kawasan Sungai Air Tawar.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 91 bungkusan plastik berisi kira-kira 94.64 kilogram bahan disyaki syabu. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM3.3 juta,” katanya lagi.
Menurut beliau sindiket tersebut dipercayai aktif selama tiga bulan dan telah berjaya menghantar satu penghantaran dadah sebelum itu.
“Kedua-dua suspek bertindak sebagai penjaga stor sindiket. Mereka menerima bayaran sekitar RM140,000 untuk satu transaksi bagi menghantar dadah ke lokasi yang ditetapkan,” katanya lagi.
Hasil semakan, suspek lelaki didapati mempunyai dua rekod jenayah dan lima rekod berkaitan dadah.
Polis kini giat menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam sindiket tersebut. Pihak berkuasa juga akan bekerjasama dengan rakan sejawat di Indonesia bagi membanteras kegiatan ini.
Dalam perkembangan lain, Kok Chin memaklumkan bahawa sebanyak 16 sarang dadah di Selangor berjaya diserbu sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.
“Hasil daripada 553 serbuan yang dilakukan, seramai 2,136 individu telah ditahan, termasuk pengedar dan penagih dadah,” jelasnya.
Daripada jumlah tersebut, 254 individu ditahan kerana membekalkan dadah manakala 576 lagi ditahan atas kesalahan memiliki dadah.
Polis terus komited membanteras jenayah narkotik bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin.