AgamaRencana

50 mualaf imarahkan program di Masjid Jamek Al-Qadree

Oleh AMIR SARIFUDIN

PULAU PINANG – Sebanyak 50 orang saudara baharu atau mualaf mengimarahkan program ‘Solat Maghrib Beramai-ramai Dalam Kalangan Mualaf’ di Masjid Jamek Al-Qadree, Ayer Itam di sini, baru-baru ini.

Program bulanan yang mengumpulkan kalangan mualaf dari negeri ini itu merupakan kali kedua dan akan diteruskan dari satu masjid ke masjid yang lain di negeri ini.

Dalam program di Masjid Al-Qadree itu, kumpulan mualaf telah disambut dan diraikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid berkenaan, Zainudin Mat.

Program tersebut merupakan insiatif Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) dan turut dihadiri Penaung Persatuan, Zolkifly Md. Lazim.

Program tersebut turut melibatkan seorang lagi saudara baharu, Boi Beng Tiong, 51, yang mengucapkan dua kalimah syahadah dipimpin oleh Zolkifly.

Zolkifly ketika ditemui memberitahu, penganjuran program itu adalah untuk memberi peluang kepada golongan mualaf mengenali saudara seagama selain menambah pengetahuan mengenai Islam.

“Ia juga bagi merapatkan silaturahim sesama Islam dan mengelak timbul salah faham terhadap golongan mualaf,” katanya sambil berharap setiap kariah masjid akan memberi sokongan kepada golongan mualaf berkenaan.

Sebahagian daripada kalaangan mualaf berdoa selepas solat maghrib di Masjid Jamek Al-Qadree, Ayer Itam, Pulau Pinang.

Sementara itu, Beng Tiong memberitahu, hidayah untuk memeluk Islam hadir dalam hidupnya setelah sekian lama menjalani kehidupan bersendiri selepas kehilangan anak dan isteri.

“Saya pernah berumah tangga tapi telah berpisah selepas anak lelaki kami berusia enam tahun meninggal dunia akibat kanser.

“Kami berpisah 20 tahun lalu dan sejak itu tiada sesiapa lagi dalam hidup saya. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk mencari kehidupan yang tenang.

“Sebaik sahaja melafazkan syahadah, saya kini merasa lebih tenang dan saya amat bersyukur atas peluang yang diberikan Allah kepada saya,” katanya.

Zainudin Mat (berdiri, dua dari kiri) dan Zolkifly Md. Lazim (berdiri) ketika memberi penerangan kepada golongan mualaf di Masjid Jamek Al-Qadree, Ayer Itam, Pulau Pinang.

Show More

Related Articles

Back to top button