Empat penjenayah warga Vietnam ditembak mati
KUALA LUMPUR – Empat penjenayah warga Vietnam ditembak mati dalam satu operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kuala Lumpur di tingkat 17 sebuah residensi di Jalan Imbi, di sini pada pukul 11.30 malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, keempat-empat suspek berkenaan dipercayai terlibat dalam 44 kes tebuk peti besi di sekitar Lembah Klang sejak 2018.
“Semasa proses melakukan tangkapan cuba dibuat, suspek dikesan melepaskan tembakan secara tiba-tiba sehingga berlaku situasi berbalas tembakan dan dalam usaha mempertahankan diri (anggota) dapat menembak mati kesemua mereka.
“Hasil pemeriksaan, polis mendapati suspek bersenjatakan dua parang dan dua pistol yang digunakan untuk menyerang pihak polis,” katanya.
Hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai sering keluar dan masuk ke negara ini.
“Kali terakhir suspek dilaporkan melakukan jenayah yang terbaru adalah dua hari lalu Sri Hartamas, di sini, sebelum kembali bersembunyi di lokasi yang diserbu malam ini.
“Kita juga percaya mereka ini menjadikan unit kediaman mewah ini sebagai tempat perancangan jenayah, berehat serta menyembunyikan diri,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, kumpulan suspek ini sukar ditahan kerana kelicikan mereka.
“Mereka ini bergerak melakukan jenayah pada waktu malam dan tidak meninggalkan kesan dan apabila wajah mereka terakam di televisyen litar tertutup (CCTV), ia agak sukar untuk dikenal pasti disebabkan mereka warga asing,” jelasnya.
Tambahnya lagi, siasatan lanjut kini sedang diteruskan baki mengesan saki-baki kumpulan ini dan juga dalam proses melengkapkan siasatan atas jenayah yang dilakukan mereka.
Mayat kesemua suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.