Berita Semasa

Majlis Pentauliahan Emas ARPRM: penghargaan kepada belia dan badan operasi

KUALA LUMPUR – Seramai 90 belia menerima tauliah Emas dalam Majlis Pentauliahan Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) yang diadakan di The Royale Chulan, Damansara hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut menyampaikan penghargaan kepada 20 badan operasi yang membimbing para belia tersebut dalam mencapai tahap Emas ARPRM.

Gambar bersama penerima ARPRM

Hannah berkata, ARPRM merupakan platform penting dalam memupuk potensi belia ke arah pembentukan karakter yang unggul.

“Program itu memberi ruang kepada belia berumur 14 hingga 25 tahun untuk membina jati diri melalui pelbagai aktiviti seperti khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal, penjelajahan lasak dan projek penempatan,” katanya di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin.

Hannah berkata, ARPRM adalah setaraf dengan The Duke of Edinburgh’s International Award, sekali gus membolehkan belia Malaysia membina rangkaian di peringkat antarabangsa.

Di samping itu, program itu mendukung matlamat Malaysia Madani dan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM 2030) dalam melahirkan generasi belia yang berdikari dan berwawasan.

ARPRM diuruskan oleh JBSN dan melibatkan sinergi antara peserta dengan badan operasi yang terdiri daripada pemimpin dan mentor. Kejayaan itu turut dilihat sebagai usaha kolektif dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Majlis Pentauliahan Emas ARPRM itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menghargai sumbangan belia yang telah melalui program pembangunan berstruktur, sementara badan operasi turut dihargai atas bimbingan mereka kepada peserta.

Show More

Related Articles

Back to top button