PM akhiri kunjungan ke China dengan pertemuan dengan Xi Jinping
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan kerja ke China dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping, petang semalam.
Beliau yang mengetuai delegasi negara bertemu Jinping di Great Hall of the People berkesempatan menyampaikan penghargaan di atas layanan mesra dan persahabatan ikhlas yang diberikan Presiden, Premier Li Qiang dan kepimimpinan tertinggi China.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jinping atas sokongan terhadap penyertaan Malaysia dalam BRICS di Kazan, Rusia.
Mengulas hubungan diplomatik kedua-dua negara yang telah terjalin sejak lima dekad lalu, Perdana Menteri mengulangi kesediaan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor perniagaan, ekonomi, pelaburan, teknologi digital, tenaga, dan pendidikan.
Beliau turut memuji ucapan Xinping pada persidangan BRICS yang menekankan perkongsian masa depan dan mencerminkan komitmen kuat terhadap kepentingan negara-negara Global South.
“Saya juga menyatakan penghormatan atas ucapan berbisa Presiden Xi di persidangan BRICS terkait perkongsian masa depan. Komitmen Presiden Xi cukup mengesankan dalam kalangan negara Global South.
“Saya menghargai semangat beliau untuk mengangkat martabat rakyat terpinggir dan menjulang nilai kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Menjelang kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia bersedia untuk mempererat hubungan serantau, termasuk menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China yang bakal berlangsung buat julung kalinya.
Dalam kesempatan itu, beliau turut menjemput Xinping untuk menghadiri persidangan di Malaysia tahun hadapan.
Kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan jamuan makan malam rasmi bersama Presiden Xi dan delegasi China, sebelum rombongan Malaysia bertolak pulang ke tanah air.
Perdana Menteri menyifatkan lawatan kerja kali ini sebagai signifikan dalam memperkukuh persahabatan erat antara Malaysia dan China serta memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara dalam aspek hubungan dua hala serta pelaburan masa depan.