Sarawak perkenal “Gateway to Borneo” di London, promosi pelancongan lestari dan keunikan Borneo
LONDON – Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) melancarkan kempen “Gateway to Borneo” di pameran World Travel Market (WTM) London 2024 sebagai usaha mempromosikan keunikan budaya dan alam semula jadi Sarawak kepada pelancong antarabangsa.
Kempen itu menampilkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan lestari yang mampu menawarkan pengalaman luar biasa di Borneo.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kempen “Gateway to Borneo” bukan sekadar pintu masuk ke Sarawak, tetapi membuka peluang kepada pelancong untuk merasai pengalaman mengagumkan melalui kepelbagaian budaya dan keindahan semula jadi yang ditawarkan.
“’Gateway to Borneo’ lebih daripada sekadar pintu masuk, ia adalah permulaan pengembaraan di mana tradisi kaya, lanskap indah dan pelancongan lestari mencipta pengalaman unik untuk pengembara dunia.
“Kami komited memelihara dan berkongsi warisan ini sambil memperkenalkan pelancongan mesra alam yang menghormati alam sekitar serta komuniti kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasaran UK menjadi fokus utama Sarawak dengan lebih 34 peratus pelancong jarak jauh terdiri daripada pelancong Britain, menunjukkan peningkatan 7.73 peratus bagi ketibaan pelancong dari UK antara Januari hingga September 2024 ia juga dilihat sebagai pemangkin bagi mencapai sasaran empat juta pelancong bagi tahun ini.
Abdul Karim berkata, STB turut memperkenalkan empat inisiatif yang memperlihatkan komitmen terhadap pelancongan lestari seperti “Audra’s Eat, Roam, and Relish” yang mana siri itu meraikan Sarawak sebagai Bandar Gastronomi UNESCO pertama di Malaysia.
Diterajui oleh chef Audra Morrice, siri enam episod ini memaparkan kepelbagaian rasa dan warisan makanan Sarawak, sekaligus mengukuhkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan kulinari.
“Borneo Green Bike Tour juga antara Inisiatif membolehkan pelancong meneroka Kuching dengan basikal elektrik, menyokong usaha pelancongan rendah karbon sejajar dengan strategi pembangunan pasca-COVID Sarawak dan Matlamat Pembangunan Lestari PBB.
“XTERRA Sarawak Borneo Trail Run Acara sukan larian lasak di Kampung Pueh ini meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan, menawarkan pengalaman pengembaraan di kawasan desa yang indah dan mencabar,” katanya lagi.
STB turut berkerjasama dengan Clicktripz dalam usaha memperluas capaian global dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghubungkan pelancong dengan lebih efektif, memaparkan keunikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan bertanggungjawab.
Dengan gabungan budaya, alam semula jadi, dan inovasi, kempen “Gateway to Borneo” mengundang pelancong dari seluruh dunia untuk meneroka keindahan Sarawak sambil menyumbang kepada kelestarian destinasi itu bagi generasi masa depan.