Pusat Mediasi Komuniti Putrajaya jadi platform penyelesaian konflik dalam komuniti
PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara terus memperkasakan usaha memupuk keharmonian masyarakat melalui pelancaran Pusat Mediasi Komuniti (PMK) yang beroperasi di Kuarters Perumahan Penjawat Awam 5R1 Presint 5, di sini.
Perasmian PMK peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, hari ini.
Hasnol dalam ucapannya berkata, platform itu menyediakan penyelesaian konflik antara individu atau kumpulan dalam komuniti secara aman tanpa perlu melalui proses undang-undang yang rumit dan panjang.
“Menerusi kerjasama antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) di Jabatan Perdana Menteri dan Perbadanan Putrajaya, pusat mediasi ini menjadi testimoni komitmen kerajaan memperkenalkan pendekatan inklusif dalam menangani isu sosial di peringkat akar umbi,” katanya.
Pada majlis itu, Hasnol turut menekankan peranan penting 33 mediator komuniti yang sedia menawarkan khidmat kepada penduduk di Putrajaya.
“Setakat ini, seramai 571 mediator komuniti telah ditauliahkan untuk memberikan perkhidmatan mediasi secara probono dan membantu masyarakat menyelesaikan konflik secara perbincangan dua hala,” katanya lagi.
Katanya, dengan adanya PMK, sebarang pertikaian di kawasan kejiranan, terutama dalam pembangunan berstrata seperti lif, koridor dan tempat letak kenderaan dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan kondusif.
“Langkah itu diharapkan dapat mengurangkan beban pihak berkuasa seperti PDRM dalam menangani konflik kecil yang sepatutnya boleh diuruskan secara damai.
“Usaha itu bukan sahaja menyelesaikan konflik tetapi turut memupuk sikap toleransi dan persefahaman dalam komuniti seiring dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya lagi.
Sebanyak lapan pusat mediasi seumpama itu beroperasi di seluruh negara ketika ini.
Kerajaan merancang untuk memperluaskan perkhidmatan itu ke peringkat negeri dan daerah bagi memenuhi keperluan komuniti yang lebih luas.