MINDEF iktiraf peranan media sebar luas agenda pertahanan negara
BANTING – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh media dalam membentuk kefahaman, menanam sifat patriotisme, cinta dan sayang kepada negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau percaya hubungan akrab antara MINDEF dengan media cukup penting dalam menyampaikan maklumat dengan tepat dan berkesan kepada setiap lapisan masyarakat.
Justeru beliau menyeru media bersama-sama dalam usaha mengangkat agenda pertahanan serta membantu menjelaskan dasar, program serta inisiatif kementerian.
“Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada petugas media yang sentiasa bersama, memastikan liputan yang terbaik, serta menyampaikan berita secara profesional dan kreatif,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Bersama Media (HBM) MINDEF di Pangkalan Udara Jugra, di sini, semalam.
Hadir sama pada program itu Ketua Setiausaha, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pegawai-pegawai kanan TUDM.
Mohamed Khaled berkata, HBM merupakan salah satu bentuk penghargaan MINDEF kepada petugas media yang selama ini mendukung pihaknya dan ATM dalam memastikan liputan yang berterusan mengenai pertahanan negara.
Program yang disertai seramai 56 petugas media daripada 21 agensi tempatan itu melibatkan latihan merentas halangan, abseiling dan demonstrasi aset pertahanan termasuk helikopter yang dipamer oleh anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU).
“Tahniah kepada petugas media yang telah merasai pengalaman 24 jam sebagai anggota tentera di bawah seliaan PASKAU bersempena HBM.
“Sama-sama kita laksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara, atas kapasiti masing-masing,” katanya.