Malaysia akan hantar pasukan MALBATT baharu ke selatan Lubnan
KUALA LUMPUR – Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang kini beroperasi di selatan Lubnan akan ditukar dengan MALBATT 850-12 secara berperingkat.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, arahan itu diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB) bahawa Force Commander (FC) Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) menetapkan satu tarikh pertukaran kesemua pasukan UNIFIL termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang beroperasi di selatan Lubnan.
“Penghantaran pasukan MALBATT 850-12 secara berperingkat dari 6 November hingga 18 November ini dan penerimaan pasukan MALBATT 850-11 secara berperingkat dari 7 November hingga 19 November ini.
“Pasukan MALBATT 850-12 akan meneruskan tugas dan tanggungjawab pasukan MALBATT 850-11 di bawah panji-panji dan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagaimana protokol dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Pasukan UNIFIL,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada pasukan MALBATT 850-12.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga mengucapkan penghargaan buat pasukan MALBATT 850-11 yang telah menggalas tugas dengan cemerlang sepanjang berada di kawasan tanggungjawab.
“Semoga pasukan MALBATT 850-12 dapat terus melaksanakan tugas dengan cemerlang sebagaimana pasukan MALBATT 850-11 sebelum ini.
“Doa dan sokongan seluruh rakyat Malaysia mengiringi mereka dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya.