Berita Semasa

Kerajaan serah tanggungjawab perkampungan India kepada KPKT, peruntuk RM10 juta untuk pembangunan

IPOH – Hal ehwal perkampungan India di seluruh negara kini diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas keputusan jemaah menteri susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 47 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) India, baru-baru ini.

Nga Kor Ming bertemu komuniti India sempena sambutan Depavali tidak lama lagi.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan masyarakat India di perkampungan seluruh negara terpelihara.

“Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membina infrastruktur asas seperti jalan, parit, longkang, dewan orang ramai, taman awam Madani serta menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan-kawasan berkenaan.

“Struktur kita adalah jelas, kampung tradisional Melayu diurus oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, manakala Kampung Baru Cina dan perkampungan India diselia oleh KPKT,” katanya di sini semalam.

Kor Ming turut berkata, terdapat tujuh lagi perkampungan India yang berada di bawah kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) namun masih belum diiktiraf secara rasmi.

“Selepas keputusan jemaah menteri, KPKT akan berbincang dengan kerajaan negeri Perak agar tujuh lagi perkampungan yang belum diiktiraf ini dapat diberikan pengiktirafan rasmi dan peruntukan secara berkala,” katanya lagi.

Langkah itu dilihat sebagai komitmen kerajaan dalam memastikan semua komuniti, termasuk komuniti India, mendapat layanan yang adil dalam pembangunan kemudahan asas dan pengurusan keselamatan kampung.

Show More

Related Articles

Back to top button