Sukan

Christopher Raj letak jawatan pengurus pasukan B-17 susulan gagal ke Piala Asia

KUALA LUMPUR – Christopher Raj mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengurus pasukan bawah 17 (B-17) negara serta-merta selepas skuad tersebut gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2025.

Skuad bimbingan Javier Jorda Ribera itu hanya mampu meraih satu mata dalam kempen kelayakan selepas seri 2-2 dengan Laos di Stadium Nasional Lao KM 16, Vientiane, semalam.

Keputusan tersebut menyaksikan pasukan negara yang tewas 0-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan pertama menamatkan saingan Kumpulan H di tangga kedua.

Christopher berkata, keputusan untuk meletakkan jawatan adalah langkah terbaik bagi memberi peluang kepada pengurus baharu dalam membawa skuad B-17 ke tahap lebih cemerlang, termasuk merealisasikan impian ke Piala Dunia.

“Kegagalan itu amat pahit untuk ditelan, apatah lagi setelah kita berjaya layak ke Piala Asia B-17 tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher yang juga Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut merakamkan penghargaan kepada Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, atas sokongan dan pengalaman berharga sepanjang perkhidmatannya sebagai pengurus pasukan B-17.

“Saya sangat menghargai peluang yang diberikan dan pengalaman berkhidmat untuk negara ini sangat membanggakan.

“Terima kasih kepada semua pemain serta ibu bapa yang terus memberi sokongan sebagai ‘pemain ke-12’ dalam setiap perlawanan,” katanya lagi.

Christopher juga mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnel, Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Oscar Francisco Gonzalez, serta jurulatih Javier Jorda Ribera dan barisan kejurulatihan B-17 atas sokongan mereka.

Untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2025, hanya 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan mara, tetapi skuad negara terpaksa akur dengan pencapaian semasa yang belum mencukupi untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Show More

Related Articles

Back to top button