42 perlawanan La Liga tanpa kalah Real Madrid akhirnya lebur
MADRID – Rekod 42 perlawanan La Liga tanpa kalah milik Real Madrid akhirnya lebur selepas dibelasah seterunya, Barcelona 4-0 dalam aksi Clasico awal pagi tadi.
Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski meledak dua gol pantas di babak kedua, sekali gus menutup peluang tuan rumah untuk merapatkan jurang.
Bintang Poland itu menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit di awal babak kedua sebelum Lamine Yamal, yang usia 17 tahun 106 hari menjadi pemain termuda menjaringkan gol dalam aksi Clasico dan kapten, Raphina melengkapkan kemenangan Barca di Bernabeu.
Barca terus mendahului liga dengan 30 mata, enam mengatasi Real yang akhirnya tewas dalam saingan La Liga selepas 13 bulan, sekali gus gagal mengatasi rekod 43 perlawanan dicatat seteru Clasico itu.
Selepas empat kali berturut-turut tewas dalam aksi Clasico, Barcelona meraih kemenangan pertama ke atas Real sejak Mac 2023.
Skuad kendalian Hansi Flick tampak lebih selesa bermain dengan serangan balas, menggunakan sepenuhnya kepantasan Raphinha dan Yamal untuk mengumpan bola kepada penjaring terbanyak La Liga, Lewandowski.
Pada awal permainan, Real bermula baik, namun mensia-siakan beberapa peluang, terutamanya menerusi Kylian Mbappe yang empat kali gagal menyempurnakan percubaan jarak dekat dan sembilan kali didapati ofsaid dengan dua gol dibatalkan.
Walaupun Real menguasai permainan, Barca mengekalkan taktik bertahan lebih ke atas dan melakukan serangan balas dan ia telah membuahkan berhasil.
Lewandowski menjaringkan gol pada minit ke-54 dan 56 iaitu jaringan ke-14, manakala Yamal menambah jaringan pada minit ke-77 dan Raphinha terus menghukum Real dengan gol minit ke-84.
“Kami sangat gembira. Menang di sini seperti ini adalah kemenangan hebat. Musim masih panjang, tetapi kemenangan ini akan membantu,” kata Lewandowski lapor Reuters.