Berita Semasa

Dakwaan tiada libat urus dalam pembangunan kerangka lesen media sosial adalah tidak benar

KUALA LUMPUR – Dakwaan Asia Internet Coalition (AIC) dalam surat terbuka bertarikh 26 Ogos lalu yang mengatakan pembangunan kerangka pelesenan ke atas platform media sosial tidak melibatkan proses rundingan adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sesi perbincangan dan libat urus bersama AIC telah diadakan di Ibu Pejabat MCMC pada 28 Mei lalu dengan pihak AIC telah mengemukakan maklum balas bertulis pada 26 Jun kepada MCMC.

“Pandangan pihak berkepentingan telah diambil kira melalui beberapa siri rundingan dan libat urus yang berterusan bagi memastikan pembangunan kerangka pelesenan yang komprehensif,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong terhadap percanggahan respons AIC yang menggesa kerajaan untuk menghentikan rancangan mengenakan lesen ke atas platform media sosial.

Pada Mesyuarat Jemaah Menteri 8 Mac lalu, keperluan pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial telah diwartakan pada 1 Ogos dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, kerangka pelesenan ini juga bertujuan memastikan akauntabiliti semua pihak termasuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.

Jelas beliau, ia adalah bertujuan untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan menangani isu-isu jenayah dalam talian serta melindungi pengguna terutamanya kanak-kanak dan orang awam.

“Intervensi kawal selia adalah sangat penting dan tepat pada masanya, di mana penyedia perkhidmatan perlu menguruskan operasi mereka dengan lebih baik di Malaysia termasuk menangani secara efektif kandungan mudarat, selain memperkukuh sistem dalam mengurangkan jenayah siber di platform mereka,” jelasnya.

Nie Ching menambah, MCMC telah menjalankan bengkel perbincangan kumpulan berfokus pada 3 September dan 4 Oktober lalu, bersama pihak berkepentingan untuk pembangunan Kod Tatalaku Penyedia Perkhidmatan.

Katanya, Draf Kod Tatalaku sedang dimuktamadkan dan akan diedarkan melalui proses rundingan awam pada hujung bulan Oktober 2024.

“Proses rundingan awam ini akan berjalan selama 14 hari untuk mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh dan pihak berkepentingan.

“Pihak penyedia perkhidmatan sedia maklum berkenaan penguatkuasaan kerangka pelesenan di bawah Akta 588 pada 1 Januari 2025,” katanya lagi.

Sementara itu, Nie Ching berkata, MCMC sedang meneruskan sesi libat urus bersama penyedia perkhidmatan yang mana fokus utama adalah untuk memberikan penjelasan berkenaan keperluan-keperluan pematuhan di bawah Akta 588 serta proses permohonan lesen ASP(C).

Show More

Related Articles

Back to top button