Berita SemasaSukan

Belanjawan 2025: KBS gembira terima pertambahan bajet

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan menyambut baik peruntukan lebih RM230 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri melalui Belanjawan 2025 untuk program pembangunan sukan di negara ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, beliau gembira dengan pertambahan jumlah peruntukan berbanding bajet terdahulu itu untuk menjayakan program sukan khususnya program podium dan Road To Gold (RTG)

“Dengan adanya peruntukan ini atlet kita boleh membuat persiapan lebih awal untuk temasya sukan Olimpik seterusnya iaitu Los Angeles 2028.

“KBS juga menerima sokongan daripada Kementerian Kewangan dengan peruntukan RM25 juta untuk program Rakan Muda dan pengisian masa lapang belia,” katanya dalam rakaman video di Facebook beliau hari ini.

Hannah berkata, inisiatif terbesar melalui Belanjawan 2025 adalah pelepasan cukai RM1,000 untuk perbelanjaan sukan yang membolehkan orang ramai ‘melabur’ dalam gaya hidup sihat.

“Bajet yang cukup bagus, kerana ‘game changer’ yang kita dapat adalah pelepasan cukai RM1,000 untuk aktiviti sukan.

“Pelepasan cukai ini diperluaskan untuk manfaat seisi keluarga.

“Saya juga gembira kerana Deaflympic juga diumumkan akan menerima sokongan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM230 juta bagi merancakkan lagi pembangunan sukan negara.

Sementara itu, Hannah juga menyatakan rasa gembira kerana RTG masih dikekalkan dan pihaknya akan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum jawatankuasa program tersebut bermesyuarat berhubung perancangan yang akan dibuat.

“Mengenai RTG, kita memang gembira kerana ia dikekalkan dan diumumkan ada bajet. Kita akan meneliti terlebih dahulu berapa kerana jumlah besar sahaja diumum. Jawatankuasa RTG akan mengadakan mesyuarat dan lihat ‘top 10’ sukan.

“Untuk ‘top 10’ sukan, seperti badminton kita ada (Goh) Sze Fei-Izzuddin (Rumsani) yang sudah berada dalam kelompok 10 teratas, ini bermaksud mereka layak masuk (RTG), tetapi ini perlu dimuktamadkan dalam mesyuarat,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button