Wanita serang pelanggan di stesen minyak ditahan polis
SUNGAI BULOH – Seorang wanita berusia 42 tahun ditahan polis awal pagi tadi selepas didakwa melakukan ugutan jenayah dan cuba menyerang seorang pelanggan menggunakan sebatang buluh di sebuah stesen minyak di Hillpark Saujana Utama.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhaamad Nor berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 3.40 pagi di Balai Polis Saujana Utama.
“Suspek ditahan susulan laporan yang diterima daripada penyelia stesen minyak berusia 24 tahun yang memaklumkan insiden berlaku pada pukul 7.50 malam semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hafiz berkata, insiden itu berlaku apabila suspek meletakkan keretanya di belakang sebuah kenderaan lain, menyebabkan pemilik kenderaan berkenaan tidak dapat keluar.
Beberapa pelanggan di stesen minyak terbabit cuba menegur suspek agar mengalihkan kenderaannya, namun teguran itu tidak diterima dengan baik.
“Wanita terbabit bertindak memarahi pelanggan dan cuba menyerang menggunakan sebatang buluh, tetapi tindakan itu berjaya dihalang oleh orang awam,” katanya lagi.
Polis menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya lagi.