Berita SemasaSukan

Atlet ping pong SUKSEM IX meninggal dunia selepas perlawanan

KUALA NERUS – Seorang atlet ping pong yang menyertai Temasya Sukan SUK Se-Malaysia Ke-9 (SUKSEM IX) meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika perlawanan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Nerus, pada petang Rabu.

Mangsa, Abdul Halim Md. Daud, 54, yang merupakan pembantu am di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 9.15 malam.

Pegawai Perhubungan Kontinjen SUK Kedah, Muhammad Shafiee Abdullah berkata, Allahyarham telah dikejarkan ke Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA) sejurus menamatkan acara ping pong bagi kategori veteran.

“Allahyarham mengadu tidak sedap badan semasa berehat selepas tamat perlawanan.

Beliau kemudiannya dipindahkan dari HoSZA ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (HSNZ) pada pukul 6.20 petang untuk rawatan lanjut di unit rawatan rapi (ICU),” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk SUKSEM IX, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan kontinjen SUK Kedah.

“Seluruh pengurusan SUKSEM IX mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan pihak kontinjen Kedah. Semoga mereka tabah menghadapi ujian itu dan diberikan kekuatan,” katanya lagi.

Difahamkan, keluarga Allahyarham Abdul Halim tiba di Kuala Terengganu pada malam Rabu untuk menuntut jenazah.

Jenazah kemudian dibawa pulang ke Alor Setar, Kedah, pada hari yang sama untuk dikebumikan.

Allahyarham dikenali sebagai seorang yang berdedikasi dan aktif dalam sukan, khususnya dalam acara ping pong kategori veteran.

Show More

Related Articles

Back to top button