Berita Semasa

Nahas penuntut UiTM: Keluarga maafkan pelaku

DUNGUN – Ku Azmi Saad bapa kepada Ku Adib Aizad, 20, salah seorang daripada tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dalam kemalangan memaafkan pemandu kenderaan yang menyebabkan tragedi tersebut.

Dalam kejadian tersebut, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun merempuh dua buah motosikal yang dinaiki empat penuntut, menyebabkan tiga daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

“Saya tidak menyimpan dendam terhadap suspek. Saya faham itu bukan kehendaknya, dan kita sebagai manusia harus saling memaafkan. Saya dan keluarga bersedia bertemu dengan keluarganya selepas urusan berkaitan arwah anak saya selesai,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Ku Azmi turut berkata, buat masa ini beliau belum memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang atau saman terhadap suspek kerana merasakan tiada apa yang boleh menggantikan kehilangan anaknya.

“Duit atau pampasan tidak akan mengembalikan anak saya. Apa yang penting bagi saya sekarang adalah untuk reda dengan ketentuan Allah dan menyelesaikan urusan keluarga dahulu,” katanya lagi.

Sementara itu, Jamaludin Hussin bapa kepada Khairul Anwar, 20, seorang lagi mangsa dalam insiden tersebut, turut menyatakan hasrat memaafkan suspek.

“Sebagai orang Islam, saya terima apa yang berlaku dan saya maafkan pelaku. Namun, saya tetap akan mengambil tindakan undang-undang demi keadilan arwah anak saya,” katanya lagi.

Pengurusan UiTM Terengganu turut mengumumkan bahawa mereka akan mengatur pertemuan antara keluarga suspek dan waris-waris mangsa bagi membincangkan penyelesaian yang lebih harmoni.

Sebelum itu, suami kepada wanita yang memandu SUV tersebut telah tampil memohon maaf bagi pihak isterinya dan menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan keluarga mangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button