Kedai popia terkenal di Melaka diarah tutup 14 hari
MELAKA – Sebuah kedai popia terkenal di Jalan Munshi Abdullah diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari selepas pemeriksaan mendapati keadaan premis penyediaan makanan itu sangat kotor, termasuk penemuan najis tikus dan lokasi dapur bersebelahan tong sampah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, penutupan itu dilakukan selepas penguat kuasa mendapati premis berkenaan tidak mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan, malah membiarkan keadaan dapur dalam keadaan tidak memuaskan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bahan mentah untuk membuat popia dibiarkan terdedah dan berselerak. Lebih mengejutkan, tauhu basah diletakkan di atas lantai bersebelahan tong sampah, manakala kawasan pembungkusan popia dipenuhi barangan yang boleh mencemarkan makanan,” katanya di sini, hari ini.
Hee sem berkata, semua pekerja di premis berkenaan juga didapati tidak memakai apron ketika mengendalikan makanan, malah ada pekerja wanita yang memakai perhiasan diri, berisiko mencemarkan makanan.
Penutupan kedai popia tersebut adalah sebahagian daripada tindakan yang diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka selepas operasi pemeriksaan dilakukan malam tadi.
Selain itu, dua lagi gerai jualan sarapan pagi turut diarahkan tutup atas alasan kebersihan yang tidak memuaskan.
“Dua lagi premis yang diarahkan tutup juga didapati tidak menjaga kebersihan dengan baik, dan tindakan diambil mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,”katanya lagi
Sebanyak 56 notis dikeluarkan kepada premis-premis makanan yang diperiksa di daerah Melaka Tengah, dengan jumlah kompaun keseluruhan bernilai RM16,200.
“Saya menyeru semua pengusaha premis makanan untuk lebih menjaga kebersihan, terutama di negeri Melaka yang terkenal sebagai destinasi pelancongan. Kebersihan yang terjamin bukan sahaja menarik pelancong, tetapi juga menjaga kesihatan masyarakat,” katanya lagi.
Dalam operasi tersebut, lima notis dengan jumlah kompaun RM1,600 dikeluarkan kepada pemilik kedai popia tersebut bagi pelanggaran kebersihan yang serius.