Berita Semasa

1,046 individu terima darjah kebesaran

KUCHING – Isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, mendahului senarai penerima darjah kebesaran dalam istiadat sempena Sambutan Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.

Toh Puan Fauziah dianugerahkan Darjah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (DP) yang membawa gelaran Datuk Patinggi.

Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Tan Sri Leonard Linggi Jugah turut menerima anugerah yang sama.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, dianugerahkan Darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Antara penerima lain yang diraikan termasuk Ketua Masyarakat Melayu Sibu, Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohammad, Peguam Besar Sarawak, Datuk Saferi Ali dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii, Setiausaha Sulit Kanan Premier Sarawak, Datuk Khir Busrah, serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni, masing-masing menerima Darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk.

Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Hamdan Sharbini serta Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Dr Neilson Ilan Mersat, antara 12 penerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu.

Sebanyak 18 individu pula menerima Darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima tersebut ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman, Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman, serta Setiausaha Akhbar kepada Premier Sarawak, Ambrose Cheng Loi Hee.

Upacara tersebut turut menyaksikan tiga individu dianugerahkan Johan Bintang Sarawak (JBS), seorang menerima Johan Bintang Kenyalang (JBK), 20 menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), 15 menerima Pegawai Bintang Sarawak (PBS) dan 98 menerima Pegawai Bintang Kenyalang (PBK).

Sebanyak 143 individu dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Bakti, manakala Ahli Bintang Sarawak (76), Ahli Bintang Kenyalang (198), Pingat Perkhidmatan Terpuji (194) dan Bentara Bintang Sarawak (259) turut diraikan dalam majlis tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button