Berita SemasaDalam Negeri

Tidak perlu politikkan penukaran cuti hujung minggu Johor – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR – Penukaran semula cuti hujung minggu daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad di negeri Johor tidak sepatutnya dijadikan bahan politik.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas pengumuman tersebut.

“Kerajaan Negeri berpandangan tidak semua perkara perlu dijadikan bahan politik. Setiap keputusan yang diambil ini adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat Johor secara keseluruhan.

“Saya juga mendapat pandangan dari Mufti Besar dan YB Exco Agama Negeri Johor bahawa ketertinggian Islam tidak sedikit pun berkurang bila mana Johor tidak lagi bercuti pada hari Jumaat bermula Januari 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahkan katanya, Islam tidak pernah melarang atau menetapkan ketentuan hari cuti pada hari tertentu sebaliknya memerintahkan umat Islam supaya meninggalkan jual beli apabila masuk waktu solat Jumaat.

“Jika kita merenung firman Allah SWT di dalam Surah Al-Jumuah ayat 9-10, kita akan lebih tenang,” katanya merujuk ayat 9-10 Surah Al-Jumuah.

Malam tadi, Tunku Mahkota Ismail menitahkan cuti hujung minggu di Johor yang ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad, bermula tahun depan.

Show More

Related Articles

Back to top button