Berita Semasa

Kursi Pengajian Melayu bakal ditubuhkan di universiti Rusia

PUTRAJAYA – Rusia bersetuju untuk mewujudkan Kursi Pengajian Melayu di salah sebuah universiti di negara itu sebagai usaha memartabatkan lagi Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat ketiga Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia (JCESTC) bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di St. Petersburg.

“Saya dan rakan sejawatan, Valery Falkov, Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia bersetuju dengan cadangan mewujudkan Kursi Pengajian Melayu di salah sebuah universiti di Rusia.

“Hal ini akan dibincangkan secara lanjut di peringkat lebih tinggi sebelum dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama rakan sejawatannya, Valery Falkov, Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia ketika hadir mesyuarat ketiga Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia (JCESTC) bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di St. Petersburg, Rusia.

Dalam pada itu katanya, ia juga bertepatan dengan kedudukan Bahasa Melayu yang menjadi salah satu program dan kursus yang ditawarkan di beberapa buah universiti terkemuka di Rusia.

Beliau berkata, pengisian pembelajaran kursus itu termasuklah mengenai kesusasteraan Bahasa Melayu, sejarah
Bahasa Melayu dan latar belakang Melayu dan nusantara.

“Pada masa sama, kursi yang akan ditubuhkan ini akan membantu memartabatkan lagi Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dengan beberapa kerjasama yang akan ditambah baik antara kerajaan Rusia dan Malaysia.

“Saya juga mengemukakan cadangan
untuk menghantar lebih ramai pensyarah dan guru bahasa kita ke Rusia dan pada masa sama menjemput pensyarah daripada Rusia untuk datang menjalani kursus di Malaysia dan mengenal lebih lanjut budaya di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi telah ditubuhkan di beberapa buah institusi
seluruh dunia seperti BFSU China, Ohio University di Amerika Syarikat, Leiden University dii Belanda, Victoria University di New Zealand dan Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button