Jenayah & Mahkamah

Yusoff Rawther didakwa lagi, miliki dua pistol tiruan

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri, Muhammed Yusoff Rawther, dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memiliki dua pistol tiruan pada bulan lalu.

Muhammed Yusoff, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, S Mageswary.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dua senjata tersebut di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada pukul 9.25 pagi, enam September lalu.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman, mencadangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nurmustanir Md Nor tidak membuat rayuan berhubung ikat jamin kerana Muhammed Yusoff masih dalam tahanan reman berkaitan kes pengedaran dadah.

Majistret S Mageswary memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 12 September lalu, Muhammed Yusoff turut didakwa di mahkamah atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, yang ditemui di dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 10.15 pagi, 6 September.

Show More

Related Articles

Back to top button