Jenayah & Mahkamah

Polis kesan lelaki berkelakuan tidak senonoh di hadapan remaja

SUNGAI BULOH – Pihak polis sedang mengesan seorang lelaki yang dirakam berkelakuan tidak senonoh di sebuah kedai di Subang Bestari, di sini kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 1.24 tengah hari daripada seorang remaja perempuan berusia 18 tahun.

Katanya, ketika kejadian, suspek berkenaan masuk ke dalam premis dan duduk di meja berhadapan remaja berkenaan bersama rakannya.

Suspek kemudian bertindak membuka zip seluar dan membuat aksi lucah di hadapan remaja itu dan rakannya.

“Akibat daripada kejadian itu, remaja itu dan rakannya keluar dari premis terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu tindakan mengeluarkan perkataan atau isyarat yang bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini boleh hadir di mana-mana balai polis yang berdekatan atau boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat, Sarjan Darul Salam Mohamed di talian 013- 4519575 bagi membantu siasatan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button