PDRM akan panggil wakil Bloomberg
KUALA LUMPUR – Pihak polis akan memanggil wakil media antarabangsa, Bloomberg bagi mendapatkan maklumat mengenai mengenai dakwaan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, laporan kes itu dibuat oleh SPRM susulan kenyataan yang dikeluarkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil di media sosial.
“Setakat ini kita telah ambil keterangan dua orang iaitu pihak pengadu (SPRM) serta Isham.
“Beberapa individu juga akan dipanggil khususnya daripada Bloomberg dalam masa terdekat,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Laporan media semalam menyebut, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed yang pihaknya telah merekod keterangan Isham di IPD Putrajaya.
Isham sebelum ini dilaporkan mengeluarkan kenyataan menggesa Anwar menyaman Bloomberg mengenai dakwaan campur tangan dalam siasatan SPRM.
Isham turut mencadangkan tindakan saman terhadap Bloomberg kerana menyiarkan laporan yang menyatakan Anwar meminta SPRM untuk tidak siasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung kes beli saham bernilai jutaan ringgit.
Katanya, jika kenyataan Bloomberg itu tidak benar, ia adalah satu fitnah yang amat berat.