Program Tuisyen Rakyat Selangor diperluas, beri manfaat 17,000 murid
KAJANG – Bagi meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi asas murid di negeri ini, Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan diperluaskan, sekali gus bakal memberi manfaat kepada kira-kira 17,000 murid.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, angka tersebut adalah hasil daripada data yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri.
Jelas beliau, ia melibatkan murid Tahun Satu, Dua dan Tiga terutamanya murid yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Kita buat program intervensi iaitu melalui PTRS, yang bertujuan mendidik dan melatih mereka supaya lebih cekap dalam literasi, numerasi maknanya boleh membaca, mengira dan juga cara berfikir mereka itu dapat dipertingkatkan.
“Hal ini kerana mereka lebih kurang setahun, dua tahun tidak bersekolah, jadi asas-asas itu terganggu ketika proses pembelajaran terhenti atibat pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian Program Tekad Reformasi Pendidikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, di sini hari ini.
Pelaksanaan Program Tekad Reformasi Pendidikan merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri Selangor.
Program ini bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai negeri terdepan dalam memperkasa pendidikan berkualiti dengan pelbagai inisiatif progresif yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan dan inovasi pendidikan.
Melalui Program Tekad Reformasi Pendidikan, Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor menonjolkan usaha kerajaan negeri dalam memodenkan infrastruktur pendidikan, menyediakan kemudahan pembelajaran terkini, serta memberi sokongan yang berterusan kepada para pendidik dan pelajar.
Antara inisiatif utama termasuklah pengintegrasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, serta peningkatan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar, selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (PSKPM).