Juruteknik terjatuh ketika selenggara kereta kabel ditemukan maut
LANGKAWI – Juruteknik yang terjatuh semasa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan Eagle’s Nest Skywalk di Matchinchang, dekat sini meninggal dunia petang tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa, Khairul Nizam Jaafar, 41, dipercayai terjatuh dari besi penahan dek kaca pada ketinggian lebih kurang 40 meter ke tebing gunung.
Beliau berkata, anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Kedah telah bergegas ke lokasi bagi memulakan operasi menyelamat yang turut disertai anggota Angkatan Pertahanan Awam.
“Mangsa yang baru sahaja bekerja tiga bulan di tempat tersebut berjaya ditemukan oleh pasukan penyelamat pada jam 5.11 petang.
“Mangsa kemudian dibawa naik ke stesen tengah oleh bomba dan pemeriksaan serta pengesahan kematian dibuat oleh pihak hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shariman berkata, mayat mangsa kemudian dibawa turun menggunakan kereta kabel sebelum dihantar ke unit forensik Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.