Berita SemasaDalam Negeri

68 guru KPM terlibat dalam program pendidikan anak-anak GISBH

PUTRAJAYA – Seramai 68 guru dari Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam program pendidikan untuk kanak-kanak rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) sejak 1 Oktober lalu.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, satu program pendidikan telah dirangka khusus untuk memberi akses pendidikan formal dan berstruktur kepada kanak-kanak berkenaan bagi mengelakkan keciciran pembelajaran.

“Bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan, program ini menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA),” menurut kenyataan itu.

KPM berkata, kit tersebut memberi penekanan kepada aspek sosioekonomi, kognitif dan fizikal kanak-kanak bagi membina keyakinan diri dan seterusnya sebagai persediaan holistik termasuk penguasaan literasi serta numerasi.

Selain itu, modul yang digunakan turut menerapkan elemen yang dapat meningkatkan kesedaran tentang potensi diri dan memupuk keseimbangan kanak-kanak terbabit dari aspek jasmani, emosi, rohani, sosial serta intelek (JERSI).

“Ia sebagai persediaan untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran secara positif dan seterusnya mempersiapkan mereka untuk menghadapi suasana pembelajaran baharu,” menurut kenyataan itu.

Tambah KPM, selaras dengan agenda Pendidikan Manusiawi, kementerian komited memastikan kanak-kanak terlibat mendapat peluang pendidikan terbaik dan tiada yang terpinggir.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor berkata, KPM akan mengambil alih pendidikan bagi lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global.

Dalam Op Global dijalankan pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Show More

Related Articles

Back to top button