Berita Semasa

Persidangan Menteri Pendidikan: Fadhlina kongsi amalan Malaysia perkasa pendidikan digital, AI

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dijadualkan menghadiri Persidangan Menteri Pendidikan anjuran Pertubuhan Negara Islam Bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO) yang berlangsung di Muscat, Oman, selama dua hari bermula hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, Fadhlina yang mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan berkenaan akan menyampaikan kenyataan negara pada dengan memberi tumpuan terhadap pendidikan berkualiti yang menjadi teras pembangunan lestari.

“Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan berkongsi amalan dan pengalaman Malaysia dalam memperkasakan pendidikan digital serta bidang kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah KPM, Fadhlina dijadual mengadakan beberapa pertemuan termasuk dengan Ketua Pengarah ICESCO, Dr Salem Mohammed Al-Malik serta ketua perwakilan negara anggota.

Beliau dijangka bertukar-tukar pandangan berkaitan kerjasama bawah inisiatif ICESCO serta Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Pendidikan dan delegasi dari 27 negara anggota ICESCO dijangka menghadiri persidangan anjuran Kementerian Pendidikan Oman dengan kerjasama Suruhanjaya Pendidikan, Budaya dan Sains Oman.

Persidangan itu bertujuan memperkukuh komitmen dalam mentransformasikan pendidikan, merapatkan jalinan dan berkongsi amalan terbaik dalam bidang pendidikan.

Show More

Related Articles

Back to top button