Jurujual kenderaan diragut selepas dilanggar penunggang motosikal
KUALA LUMPUR – Seorang jurujual kenderaan diragut oleh seorang penunggang motosikal yang melanggar kereta miliknya di Setia Alam, Shah Alam dalam kejadian Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 29 tahun pada pukul 6.14 petang.
Kataya, pengadu mendakwa diragut oleh seorang penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC yang dipercayai dengan sengaja telah melanggar kereta jenis Mercedes Benz milik pengadu.
“Bagaimanapun ketika mangsa keluar dari kenderaannya, suspek yang masih berada di atas motosikal bertindak menarik rantai leher mangsa dan melarikan diri.
“Suspek hanya berjaya melarikan separuh rantai leher kerana sempat ditarik semula oleh mangsa.
“Jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM 1500 dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Iqbal, kejadian tersebut dirakam melalui kamera papan pemuka (dashcam) mangsa dan tular di media sosial.
Sehubungan itu, polis kini memburu suspek dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.