Berita Semasa

Tiada layanan istimewa diberikan kepada GISBH, individu berkaitan – tegas LHDN

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan pemantauan terhadap pematuhan cukai syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), syarikat serta individu yang berkaitan dijalankan secara berterusan seperti mana pembayar cukai yang lain.

Katanya dalam satu kenyataan, tiada layanan istimewa diberikan kepada pembayar cukai tersebut.

“Pihak LHDN ingin menegaskan bahawa lebih 60 semakan audit telah dijalankan terhadap GISBH, syarikat-syarikat serta individu yang berkaitan dengannya bagi tahun-tahun taksiran terdahulu.

“GISBH, syarikat-syarikat serta individu yang berkaitan telah dikenakan tindakan kompaun dan penalti cukai bagi tahun-tahun taksiran yang diaudit. Kompaun dan penalti cukai yang dikenakan telah dibayar oleh pembayar cukai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara menerusi kenyataan media berkaitan, “GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan” adalah merujuk kepada Tahun Taksiran (TT) terkini yang sedang disiasat oleh pihak LHDN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu menurut kenyataan itu, kerjasama pihaknya dengan PDRM adalah bertujuan untuk melengkapkan siasatan berdasarkan kepada maklumat dan penemuan baharu yang ada kaitan
dengan isu percukaian bagi TT terkini.

Jelasnya, tindakan pendakwaan dan penalti di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Justeru itu, usaha-usaha membanteras ketidakpatuhan cukai akan terus dilakukan oleh LHDN agar dapat memberikan keadilan kepada semua pembayar cukai yang patuh sekali gus mengelakkan ketirisan hasil negara,” tegasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button