Sukan

Ten Hag pertahan Bruno Fernandes

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag tampil mempertahankan kapten pasukan, Bruno Fernandes, selepas prestasi hambar pemain tengah itu pada permulaan musim ini.

Ten Hag yakin Fernandes hanya memerlukan masa sebelum kembali ke tahap terbaiknya.

Fernandes pemain antarabangsa Portugal, hanya mencatatkan satu umpanan gol dan belum menjaringkan sebarang gol dalam kempen musim ini.

Prestasi kurang memuaskan ini mencetuskan kritikan selepas dua perlawanan terakhir United yang berakhir dengan keputusan seri menentang Crystal Palace dan Twente Enschede.

Ten Hag turut menolak dakwaan bahawa Fernandes mungkin keletihan selepas musim lalu yang sukar, di mana dia beraksi lebih 4,000 minit bersama United sebelum mewakili negaranya di Euro 2024.

“Saya rasa pasukan berada dalam posisi yang meletakkan dia dalam situasi sukar. Namun, saya yakin dia mampu bangkit kerana dia telah membuktikan kebolehannya berulang kali dalam Liga Perdana. Dia adalah pemain yang mampu mencipta banyak peluang,” kata Ten Hag ketika sesi sidang media menjelang perlawanan menentang Tottenham Hotspur semalam.

Ten Hag berkata, Fernandes sudah mencipta beberapa peluang dan tidak lama lagi dia akan menghasilkan hantaran terakhir serta menjaringkan gol. Saya pasti, 100 peratus, hanya masa yang akan menentukannya,

“Kami mempunyai pemain yang mampu menjaringkan gol dalam pasukan, tetapi jelas sekali daripada peluang-peluang yang dicipta, kami masih tidak mencetak gol yang mencukupi,” katanya lagi.

Manchester United setakat ini hanya menjaringkan lima gol dalam liga musim ini dan menduduki tangga ke-11 carta Liga Perdana.

United juga gagal menewaskan Tottenham Hotspur selama dua tahun, dan pertembungan kali ini dijangka sengit, memandangkan Spurs, di bawah kendalian Ange Postecoglou, telah mengumpul tujuh mata dan berada di tangga ke-10 dengan perbezaan jaringan.

Perlawanan menentang Spurs secara tradisinya menghasilkan banyak gol dan Ten Hag bersedia untuk cabaran yang bakal dihadapi pasukannya.

Show More

Related Articles

Back to top button