Berita Semasa

KKM lancar inisiatif lupus ubat melalui MyMediSAFE

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menyambut Hari Farmasi Sedunia 2024 dengan pelancaran MyMediSAFE yang merupakan inisiatif pelupusan ubat-ubatan dalam simpanan pesakit secara selamat demi kelestarian alam sekitar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni pada majlis tersebut menegaskan bahawa sambutan itu bukan hanya mengiktiraf peranan ahli farmasi tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan profesion itu dalam sistem kesihatan.

“Farmasi merupakan sektor kritikal dalam penjagaan kesihatan dan sambutan Hari Farmasi Sedunia itu menggariskan peranan ahli farmasi dalam memenuhi keperluan kesihatan global,” katanya di sini hari ini.

Pelancaran inisiatif MyMediSAFE yang mendapat sokongan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta pelbagai rakan strategik bertujuan membantu pesakit menguruskan ubat-ubatan mereka secara selamat.

Lukanisman berkata, inisiatif itu menyokong matlamat kelestarian alam sekitar selaras dengan beberapa United Nations Sustainable Development Goals (SDG), termasuk Good Health & Well Being serta Responsible Consumption and Production.

“MyMediSAFE melibatkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memastikan ubat-ubatan yang tidak lagi digunakan dilupuskan dengan betul. Ia adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh semua pihak,” katanya lagi.

Sebanyak 30 organisasi menyertai inisiatif itu termasuk persatuan farmaseutikal, hospital swasta dan farmasi komuniti.

Terdapat 854 pusat pengumpulan ubat-ubatan di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai melupuskan ubat mereka dengan selamat.

Show More

Related Articles

Back to top button