Khidmat Ketua Pengarah J-Kom ditamatkan
SHAH ALAM – Perkhidmatan Mohd Khairuddin Othman sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) telah ditamatkan selepas enam bulan dilantik menjawat jawatan itu.
Pengesahan penamatan itu dibuat sendiri oleh Khairuddin kepada media namun penjelasan di sebalik keputusan tersebut tidak dinyatakan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras dan mantan Setiausaha PAS Selangor itu juga tidak mengulas lanjut mengenai sebab dan tarikh kuat kuasa penamatan jawatannya.
“Sebaiknya, jika mahu penjelasan lanjut, tanyakan pada pihak menteri,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Khairuddin dilantik sebagai Ketua Pengarah J-Kom pada 1 Mac lalu, menggantikan Mohammad Agus Yusoff yang meletakkan jawatan pada November tahun lalu.
Jawatan Ketua Pengarah J-Kom kosong selepas kontroversi membabitkan Agus Yusoff dan seorang kakitangan J-Kom, Wahab Abdul Kadir Jilani.
Insiden tersebut melibatkan sebuah video berdurasi tiga minit yang didakwa berunsur lucah, sehingga mencetuskan siasatan polis dan membawa kepada perletakan jawatan Agus.
J-Kom, yang dahulunya berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi berikutan isu melibatkan Agus dan Wahab.