Polis yakin pembunuhan pereka dalaman selesai dengan penangkapan tiga suspek
PETALING JAYA – Polis Daerah Petaling Jaya yakin kes pembunuhan seorang pereka dalaman di Bandar Sri Damansara pada 15 September lalu dapat diselesaikan dengan penangkapan tiga suspek warga tempatan semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, tiga individu berusia antara 50 hingga 61 tahun ditangkap dalam serbuan pada pukul 3 pagi di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur.
“Siasatan mendapati ketika kejadian suspek memecah masuk rumah mangsa dan berlaku pergelutan setelah mangsa balik sebelum menyedari suspek memecah masuk rumahnya.
“Pihak polis percaya bahawa salah seorang daripada ketiga suspek diberkas ini adalah pelaku jenayah tersebut dan yakin kes ini dapat diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan.
Shahrulnizam berkata, semakan rekod mendapati kesemua suspek termasuk warga emas itu mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kesemua suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam kejadian 15 September lalu, seorang pereka dalaman berusia 36 tahun, Muhammad Sharqawi Abu Bakar, ditemukan maut dengan 20 kesan tikaman di kepala, rusuk dan pergelangan tangan.