Jenayah & Mahkamah

Polis cari lelaki dipercayai tetak jiran hingga maut

KENINGAU – Pihak polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes tetak jiran hingga maut dalam kejadian di Jalan Lingkudau, di sini kelmarin.

Menurut polis dalam satu kenyataan malam tadi, lelaki dikenali sebagai Abdul Razak, 40, itu dipercayai melarikan diri selepas difahamkan menetak lengan mangsa, seorang lelaki berusia 53 tahun yang telah membantu isterinya ketika mereka bertengkar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Alizam Dalaman berkata, susulan kejadian pihaknya membuka satu kertas siasatan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan lelaki itu diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Azrul Efizul Mohd Asri di talian 012-9293148 atau tampil terus di balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan tersebut, malam tadi.

Laporan media sebelum ini menyebut, seorang lelaki berang dengan tindakan jirannya yang membantu isterinya berkenaan masalah rumah tangganya.

Dalam kejadian itu, anak mangsa berusia tujuh tahun menyaksikan sendiri bapaya ditetak oleh suspek sebelum bertindak melarikan diri dari lokasi.

Show More

Related Articles

Back to top button