TPM tinjau kemajuan di Kem Mahkota, Johor
JOHOR BAHRU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan kerja ke Kem Mahkota, Johor, bagi meninjau pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan di sana.
Antara perkara yang ditinjau dalam lawatan ini termasuklah Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta kemajuan projek Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera di Kem Mahkota.
Dalam rangka lawatannya, Ahmad Zahid turut melancarkan Program Jualan Istimewa Madani Angkatan Tentera (JIMAT) dan berkesempatan bertemu serta menyantuni warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Kem Mahkota.
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin berkata, lawatan tersebut bertujuan untuk melihat sendiri kemajuan pelaksanaan dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan.
“Selain kesiagaan aset ketenteraan, kerajaan juga menekankan kesejahteraan warga ATM, meliputi aspek perumahan, kesihatan, kebajikan, pendidikan dan pekerjaan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited memastikan kesejahteraan warga ATM dan keluarga mereka serta para veteran terus terpelihara melalui pelbagai inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Semua ini adalah tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan kepada anggota tentera yang telah berkorban demi menjaga kedaulatan negara,” katanya lagi.
Lawatan tersebut turut disertai oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Wira Hafizuddeain Jantan.
Lawatan ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kebajikan dan keperluan anggota ATM terus terjaga, sekaligus memperkukuhkan kesiapsiagaan pertahanan negara.