Jenayah & Mahkamah

Kes ‘counter setting’: SPRM beku akaun, sita wang tunai dan barangan bernilai lebih RM4 juta

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan pihaknya menyita barangan dan wang tunai, dan membekukan akaun bank dengan jumlah keseluruhan lebih RM4 juta berkaitan sindiket penyeludupan warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, antara disita termasuk hampir RM800,000 wang tunai ditemukan di bilik tidur dua pegawai Imigresen yang terlibat dalam sindiket berkenaan.

“Sitaan wang tunai antaranya sebanyak RM518,250 kita pernah jumpai daripada pegawai Imigresen kanan gred KP22 wanita di Pahang. Wang diletakkan di dalam bagasi di bilik tidurnya.

“Turut disita RM248,443 daripada pegawai Imigresen gred KP19 lelaki yang bertugas sekarang di Melaka. Wang ditemukan di bawah katil bilik tidur utama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Tambahnya, jumlah itu antara keseluruhan RM1.49 juta wang tunai yang disita, selain AS$9,900 dan 5,470 baht menerusi Op Pump, Op Setting dan Op Pump 2.0 yang dijalankan pada 20 Ogos, 29 Ogos serta 12 September lalu.

Sementara itu, akaun bank yang dibekukan adalah sebanyak 215 akaun dengan nilai RM3,601,305.32 membabitkan 16 milik syarikat dan 84 individu yang mana 49 akaun pegawai Imigresen dan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SPRM turut menyita 22 unit kenderaan dengan melibatkan sembilan kereta dan 13 motosikal.

Selain itu, sebanyak 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai melebihi RM200,000 disita daripada pegawai Imigresen kanan Gred KP22 di Negeri Sembilan.

Turut disita, dua jongkong emas masing-masing seberat satu kilogram dengan anggaran nilai RM720,000 dan lebih 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket serta subang selain 12 jam tangan pelbagai jenama.

“Operasi adalah hasil risikan yang dijalankan selama enam bulan oleh Bahagian Perisikan SPRM,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button