Penumpang feri terkandas selamat tiba di Langkawi
ALOR SETAR – Feri ke Langkawi yang membawa 567 penumpang yang terkandas di beting pasir akibat dibadai ribut petang semalam, selamat tiba di Langkawi pada pukul 10.40 malam tadi.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, kesemua penumpang terbabit dalam keadaan selamat.
“Selamat sampai (feri) pada pukul 10.40 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, sebuah feri membawa 567 penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi dilaporkan tersangkut di beting pasir pada pukul 2.30 petang di tebing pasir kira-kira 0.5 batu nautika dari Terminal Kuala Perlis.
Sementara itu, tiga buah feri lagi dari Kuala Kedah ke Langkawi yang membawa 610 penumpang terpaksa berpatah balik ke Terminal Feri Kuala Kedah berikutan ombak kuat serta ribut.
Feri pertama iaitu pada jam 1.30 petang membawa 120 penumpang manakala jam 2 petang membawa 149 penumpang dan feri pada jam 2.30 petang yang membawa 410 penumpang terpaksa berpatah balik demi keselamatan penumpang.
Ketiga-tiga feri terbabit dalam perjalanan dari Terminal Feri Kuala Kedah ke Langkawi.