Sukan

Kalamullah Al-Hafiz sah sarung jersi Gergasi Merah Kuning

SHAH ALAM – Selangor FC secara rasmi mengumumkan Kalamullah Al-Hafiz sebagai penjaga gawang baharu kelab itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Piala Asia (ACL2) 2024-25.

Menurut Selangor FC dalam satu kenyataan, dia yang lebih mesra dengan panggilan Kalam, pernah beraksi selama tiga tahun sebagai pemain pembangunan Felda United, sebelum berjaya menembusi skuad utama pasukan tersebut dan beraksi dalam satu perlawanan.

“Nama Kalam terus dikenali ramai bersama skuad PJ City FC sejak 2019. Kalam berjaya membuat 54 penampilan dalam empat tahun berkhidmat bersama PJ City FC sebelum kelab tersebut dibubarkan.

“Kalam kemudian, menempa nama bersama Kedah Darul Aman FC selama setahun dengan 36 penampilan. Mengikut statistik, Kalam berjaya membuat 34 rekod perlawanan tanpa bolos,” katanya.

Persembahan cemerlangnya pada musim 2022 telah membantu beliau untuk beraksi buat kali pertama bersama skuad Harimau Malaya pada 9 Disember lalu dalam perlawanan Persahabatan Antarabangsa  menentang Kemboja.

Dalam pada itu menurut Kalam, dia akan cuba menyesuaikan diri dengan kadar segera untuk mencapai kejayaan bersama Selangor FC.

“Selangor adalah antara nama kelab yang besar dalam liga Malaysia terutama sekali semasa zaman arwah Mokhtar Dahari, Shukor Adan dan ramai lagi pemain-pemain lain yang pernah bermain dalam kelab ini.

“Suasana di sini agak berbeza bagi saya tetapi bukan satu alasan untuk saya sesuaikan diri dengan pemain-pemain lain. Harapan saya pula adalah untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi dan mencapai banyak kejayaan bersama pasukan ini,” katanya.

Pada masa sama, Kalam juga mengharapkan sokongan padu daripada para penyokong.

“Saya juga berharap para penyokong dapat berikan kata-kata semangat untuk pemain dan berikan sokongan kepada kami kerana dengan cara tersebut mampu meningkatkan motivasi kami,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button