Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 800 kilogram ikan bilis kering di Sandakan
SANDAKAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 800 kilogram ikan bilis kering yang dipercayai menuju ke negara jiran dalam satu operasi di perairan Sandakan baru-baru ini.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain memaklumkan bahawa pihaknya mengesan sebuah vesel mencurigakan ketika rondaan Op Pluto Timur, Op Khas Cegah Pendatang Asing Tanpa Izin Utara COVID-19 dan Op Tiris 3.0 pada kedudukan 5.2 batu nautika timur laut Tanjung Pamaguan, sekitar pukul 1.25 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong dan seorang awak-awak, kedua-duanya warga asing berusia 35 dan 56 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut ke atas vesel berkenaan menemukan 13 guni yang berisi ikan bilis kering dengan anggaran berat 800 kilogram, dipercayai untuk diseludup keluar ke Pulau Taganak, Filipina. Nilai keseluruhan rampasan, termasuk ikan bilis kering, enjin sangkut dan vesel dianggarkan melebihi RM48,000.
“Kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia kerana cubaan mengeksport ikan bilis kering tanpa lesen sah, serta di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 dan Akta Imigresen 1959/63 berhubung dokumen pengenalan diri yang meragukan,” tambahnya.
Maritim Malaysia turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan NG999 bagi tindakan segera.