Isu sijil halal, DPMM bidas Teresa Kok
KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini tampil membidas kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, yang mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.
Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu bahawa perolehan sijil halal boleh memalukan Malaysia tidak berasas selain bertentangan dengan realiti perkembangan pasaran halal dunia yang kini mencecah nilai trilion dolar.
Jelasnya, sijil halal bukan semata-mata mengenai status makanan untuk umat Islam, sebaliknya turut merangkumi jaminan terhadap aspek keselamatan dan kebersihan produk itu sendiri.
“DPMM tidak bersetuju dengan kenyataan Teresa Kok. Jika dilihat industri halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada AS$113.2 bilion (RM500.4 bilion) pada 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.
“Pandangan Teresa Kok bahawa langkah ini bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya dan mungkin menjadikan Malaysia bahan ejekan di peringkat antarabangsa adalah tidak tepat.
“Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai beban kepada perniagaan, tetapi sebagai peluang untuk meningkatkan keyakinan pelanggan dan membuka pasaran yang lebih luas, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Pengusaha yang mempunyai pensijilan halal sering kali dilihat lebih kompetitif dan dipercayai oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Oleh itu, Norsyahrin menegaskan pensijilan halal seharusnya dilihat sebagai langkah positif, bukan sebagai beban demi memajukan perniagaan tempatan dan mengukuhkan imej Malaysia di mata dunia.
Media semalam melaporkan, Teresa dipetik sebagai berkata pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Ahli Parlimen DAP itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.