Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Bayi 8 bulan maut di taska: Seorang pengasuh wanita ditahan

ALOR GAJAH – Seorang wanita yang bekerja sebagai pengasuh ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri di sebuah taman asuhan kanak-kanak di Taman Kelemak Utama semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah memaklumkan bahawa wanita berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang di taska berkenaan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

“Tangkapan dibuat susulan laporan yang diterima daripada pihak Hospital Alor Gajah, yang memaklumkan bahawa seorang bayi berusia lapan bulan telah dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya seperti yang dilapor Kosmo Online.

Menurut beliau, bayi itu telah dihantar ke taska oleh datuk dan ibunya pada jam 7.05 pagi, namun pada jam 9.05 pagi, pihak taska memaklumkan kepada ibu mangsa bahawa tubuh badan bayi tersebut telah bertukar kebiruan.

“Datuk dan ibu bayi tersebut segera bergegas ke taska dan mendapati muka mangsa sudah biru, hidung berdarah serta badannya dalam keadaan lemah. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Alor Gajah, tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya lagi

Berikutan kejadian itu, seorang pengasuh wanita ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Suspek berasal dari Endau, Johor dan sudah berkahwin serta mempunyai tiga orang anak.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Mohd. Fikry Amri Abdul Halim menyatakan bahawa beliau menyaksikan sendiri insiden tragis tersebut melalui rakaman CCTV di taska berkenaan.

Beliau mendakwa pengasuh terbabit membedung, menyumbat botol susu dan menekup anaknya dengan bantal sehingga menyebabkan kematian.

“Kami baru menghantar Al Fateh ke taska selama lima hari. Saya boleh terima jika dia meninggal kerana kejadian di luar kawalan, tetapi apabila melihat rakaman CCTV, saya tidak sangka perkara ini dilakukan oleh pengasuh sendiri,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Alor Gajah.

Tambahnya lagi, suspek pada awalnya enggan mengakui perbuatannya sehinggalah rakaman CCTV diperiksa oleh pihak polis.

Show More

Related Articles

Back to top button