Berita Semasa

MINDEF seru anggota PALAPES sertai ATM, guna kemahiran bantu pertahanan negara

TANJUNG MALIM – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyeru Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyumbang kepada pertahanan negara.

Seruan itu disuarakan sendiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkan PALAPES di universiti awam sebagai aset penting buat negara.

Menurut Mohamed Khaled, generasi PALAPES pada masa ini merupakan generasi yang lahir dan dibesarkan dalam dunia ‘ledakan’ teknologi.

Justeru itu, Khaled berkata, realiti pertahanan menyaksikan ATM sememangnya memerlukan mereka yang memahami dan berminat dengan teknologi.

“Kenapa saya membuat seruan ini? Ini kerana sebagai PALAPES, saudara dan saudari sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang lebih berbanding rakan-rakan saudara dan saudari di luar sana.

“Anda semua adalah generasi yang lahir dan dibesarkan dalam dunia ledakan teknologi. Generasi yang hidup dan belajar dengan kelebihan teknologi. Generasi yang tidak dapat hidup tanpa teknologi,” katanya.

Khaled berucap di hadapan Pegawai Kadet PALAPES dalam program Executive Lecture Menteri Pertahanan Bersama PALAPES Universiti Awam di UPSI, Tanjung Malim, semalam. Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Program Executive Lecture Menteri Pertahanan Bersama PALAPES merupakan anjuran bersama Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) dan Markas ATM Bahagian Mobilisasi Angkatan Simpanan (MATM-BMAS) bersempena Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Ke-42 yang bakal diadakan pada 21 September 2024.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Pada masa yang sama, Khaled turut memaklumkan, MINDEF akan mewujudkan laluan khas bagi 100 Anggota Kadet PALAPES untuk menyertai ATM.

Menurut Khaled lagi, inisiatif yang bakal dilaksana pada tahun depan itu bakal melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara.

Selain itu, beliau berkata, kementeriannya juga sedang mempertimbangkan untuk menanggung sebahagian daripada bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi 100 pegawai kadet PALAPES terbabit.

Shad Mohd. Rizal, 22, Pegawai Rendah Kanan (PALAPES Udara) UiTM Shah Alam. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Shad Mohd. Rizal, 22, Pegawai Rendah Kanan (PALAPES Udara) menyambut baik inisiatif MINDEF untuk mewujudkan laluan khas bagi PALAPES menyertai ATM.

Ujarnya, menerusi inisiatif tersebut, pengalaman sebagai seorang PALAPES itu tidak akan terhenti setelah menamatkan pengajian sahaja, sebaliknya ia boleh disumbangkan dalam pertahanan negara.

“Inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan itu akan membuka laluan kerjaya yang lebih besar untuk PALAPES.

“Mahasiswa juga tidak akan menganggap apabila tamat pengajian, bermakna PALAPES habis setakat itu sahaja,” katanya.

Tambah Shad yang mengambil jurusan Sains Komputer (Rangkaian Komputer) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, penyertaan dalam PALAPES turut mendedahkan dirinya kepada bidang pertahanan seperti aset-aset penting yang digunakan ATM.

“Sebagai kadet udara saya telah didedahkan dengan aset-aset TUDM. Saya belajar mengenai jenis-jenis aset serta kegunaannya yang tersendiri,” katanya.

Sementara itu, mahasiswa yang menyertai PALAPES menyifatkan penglibatan mereka dalam pasukan tersebut telah berjaya membentuk disiplin diri, kemahiran serta pemahaman asas terhadap dunia pertahanan.

Nur Nifail Amsyar Tajuddin, 22, Pegawai Kadet Kanan (PALAPES Laut) Universiti Malaya (UM). – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Menurut Nur Nifail Amsyar Tajuddin, 22, Pegawai Kadet Kanan (PALAPES Laut) dari Universiti Malaya (UM), penyertaannya dalam PALAPES telah mendedahkan dia dalam memahami keperluan dan kepentingan pertahanan negara.

Jelas Amsyar, yang mengikuti kursus Kejuruteraan Perisian (Software Engineering), stigma bahawa pelajaran mahasiswa akan terjejas sekiranya menyertai PALAPES perlu diubah.

“Ramai yang beranggapan kalau sertai PALAPES ia akan menjejaskan pelajaran mereka, namun sebenarnya latihan yang diberikan hanya pada hari minggu, jadi ia langsung tidak mengganggu waktu belajar,” katanya yang kini merupakan pelajar tahun akhir.

Muhammad Fadhil Bin Anor@Anuar, 25, Pegawai Rendah Muda (PALAPES Darat) UPSI. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Selain itu, Muhammad Fadhil Bin Anor@Anuar, 25, Pegawai Rendah Muda (PALAPES Darat) yang menuntut di UPSI, berkata, antara cabaran terbesar sepanjang mengikuti PALAPES adalah dari segi pengurusan masa itu sendiri.

“Sekiranya mahasiswa menyertai PALAPES, aspek pembahagian masa perlu diberi penekanan antara latihan PALAPES dan kuliah,” ujarnya yang juga pelajar jurusan Pendidikan Sejarah.

Show More

Related Articles

Back to top button