Kes keracunan makanan, dewan makan MRSM Taiping diarah tutup
TAIPING – Dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping di sini diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Perak susulan kejadian keracunan makanan membabitkan 62 pelajar pada 30 dan 31 Ogos lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama (PKD LMS) menerima 30 notifikasi kes keracunan makanan pada 30 Ogos.
“Ia diikuti 32 kes tambahan pada hari berikutnya dari Klinik Kesihatan Taiping membabitkan pelajar yang tinggal di asrama dalam MRSM Taiping.
“Hasil siasatan awal di lapangan mendapati kesemua pelajar terbabit yang berusia di antara 16 hingga 17 tahun mempunyai sejarah makan di dewan makan MRSM Taiping dan mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, pening, loya, demam serta muntah,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Katanya, PKD LMS membuat pemeriksaan premis dewan makan MRSM Taiping pada 30 Ogos lalu pada 11.45 pagi dan mendapati tahap penilaian 70.11 peratus.
Sehubungan itu, katanya, PKD LMS mengeluarkan arahan penutupan premis dewan makan MRSM Taiping mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Pemeriksaan semula ke atas premis dewan makan MRSM Taiping dilakukan pada 2 September (Sinin) lalu jam 3.15 petang dan mendapati bahawa tahap penilaian pada waktu itu adalah 88.51 peratus dan dibenarkan beroperasi semula dengan penambahbaikan yang dicadangkan,” katanya.
Sivanesan berkata, sebanyak empat sampel klinikal diambil daripada kalangan kes yang bergejala serta dua sampel makanan dan 13 sampel pengendali juga diambil pada 30 Ogos untuk dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh bagi tujuan analisis.
“Pejabat kesihatan juga merancang untuk melakukan pemeriksaan premis terbabit secara berkala bagi memastikan pihak pengendali makanan sentiasa mematuhi prosedur pengendalian makanan yang selamat.
“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku kerana kejadian sama pernah berlaku di lokasi berkenaan pada 2018, malah laporan mengenainya kita hantar kepada pihak sekolah serta Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, perkara berkenaan akan dipandang serius dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak pengusaha.