Berita Semasa

Cadangan wajibkan restoran, syarikat makanan ambil pensijilan halal membebankan – Teresa Kok

PETALING JAYA – Pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Menurut Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan menambah beban perniagaan kecil.

“Pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran.

“Walaupun banyak restoran tidak menyediakan daging babi atau alkohol, mereka tidak memohon pensijilan halal termasuklah ribuan pengusaha restoran kecil Melayu,” kata Teresa dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Bagaimanapun, pensijilan itu mengecualikan restoran yang menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.

Na’im berkata, ketika ini proses untuk mendapatkan sijil halal lebih kepada sukarela oleh pengusaha restoran atau pemilik syarikat makanan.

Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP berkata, pensijilan halal dilihat menghalang kebebasan pilihan pengguna serta bertentangan semangat kepelbagaian budaya dalam negara.

Katanya, pengguna berhak memilih sama ada untuk mengunjungi restoran disahkan halal atau tidak.

“Pengawalan yang berlebihan ini bukan sahaja mengekang kebebasan pengurusan perniagaan tetapi juga tidak menghormati kehendak pengguna.

“Campur tangan ini bertentangan semangat kebebasan ekonomi dan autonomi perniagaan yang sering dianjurkan oleh kerajaan, dan akan memberi kesan negatif kepada kerajaan perpaduan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button