Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Tuntuntan Perkeso palsu : Tiga lagi individu termasuk dua doktor direman SPRM

GEORGETOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan reman tiga lagi individu berkaitan dokumen tuntutan Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dipercayai mengandungi butir matan palsu.

Perintah reman selama empat hari terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an dikeluarkan oleh Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown pagi tadi.

Sumber berkata, kesemua suspek terdiri daripada seorang pemilik syarikat dan dua doktor kanan yang bertugas di hospital sekitar negeri itu dan merupakan antara suspek baharu yang ditangkap dan direman berkaitan kes tersebut.

“Kedua-dua orang doktor kanan ini dipercayai telah bersubahat dengan pemilik syarikat berkenaan yang bertindak sebagai ejen-ejen bagi mengemukakan dokumen berkaitan tuntutan HUK kepada PERKESO yang dipercayai mengandungi butir matan palsu.

“Sehingga hari ini SPRM telah menahan 36 suspek berkaitan kes ini dan turut menyita wang tunai, barang kemas, beg berjenama, kenderaan mewah, nombor plat kenderaan mewah, jam tangan mewah, motosikal, telefon bimbit dan barangan mewah dengan jumlah terkini kesuluruhan bernilai kira-kira RM1 juta.

“Siasatan awal turut mendapati nilai wang rasuah yang terlibat dalam kegiatan ini berjumlah kira-kira RM2 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button