Pestabola Merdeka: Juara bertahan tewas, Lubnan kalahkan Tajikistan 1-0
KUALA LUMPUR – Juara bertahan Tajikistan terpaksa akur apabila tewas mengejut 1-0 kepada Lubnan dalam perlawanan Piala Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil petang tadi.
Perlawanan yang bermula pada pukul 4.30 petang itu menyaksikan Lubnan, yang berada di ranking ke-117 dunia, tidak mengambil masa lama untuk memberi kejutan apabila Jihad Ayoub meledakkan gol tunggal perlawanan seawal minit ke-13 separuh masa pertama.
Tajikistan pasukan yang menduduki ranking ke-103 dunia, cuba bangkit dan mengatur serangan bertubi-tubi sepanjang perlawanan. Walaupun dibarisi majoriti pemain muda, mereka tidak berjaya menembusi gawang gol lawan, termasuk pada minit terakhir perlawanan apabila penjaga gol Lubnan berjaya menafikan peluang terbaik Tajikistan untuk menyamakan kedudukan.
Kemenangan telah membawa Lubnan ke perlawanan akhir, di mana mereka akan bertemu pemenang antara Malaysia dan Filipina, yang dijadualkan bertarung malam ini. Tajikistan pula akan berentap untuk penentuan tempat ketiga dan keempat pada 8 September.
Ketua Jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic berkata, pasukanya datang ke sini dengan misi untuk melangkah ke final. Kemenangan ini sangat bermakna, lebih-lebih lagi setelah kami mengalami kekecewaan dalam kelayakan Piala Asia 2027.
“Kami harap dapat berdepan Malaysia di final. Saya ingin merasai kehangatan sorakan penyokong mereka yang boleh menggoncang stadium.” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Tajikistan, Gela Shekiladze mengakui perlawanan menentang Lubnan sangat mencabar.
“Kami menghadapi kesukaran beraksi dalam cuaca panas dan beberapa pemain kami masih belum bersedia sepenuhnya. Itu adalah bola sepak, kadangkala kita tidak mendapat apa yang kita mahukan,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana gagal mempertahankan gelaran yang diraih tahun lalu, namun tetap optimis menjelang perlawanan seterusnya untuk menentukan tempat ketiga.
“Kami masih ada peluang untuk menebus kekalahan ini,” tambahnya lagi.
Pestabola Merdeka 2024 terus menarik perhatian dengan kejutan demi kejutan, dan peminat bola sepak tempatan pastinya tidak sabar menantikan aksi final yang bakal berlangsung Ahad ini.