Sukan

Paralimpik Paris: Ganjaran RM1 juta menanti Liek Hou

KUALA LUMPUR – Ganjaran berupa wang tunai RM1 juta bakal menanti pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou selepas berjaya menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Paralimpik Paris 2024.

Berita gembira itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berdasarkan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang diperuntukkan kerajaan kepada setiap pemenang pingat di Sukan Paralimpik.

Menurut Hannah, selain insentif RM1 juta, Liek Hou turut diberikan elaun bulanan sebanyak RM5,000 seumur hidup di bawah Skim Insentif Sukan Olimpik (SITO).

“Sangat bangga dengan Cheah Liek Hou kerana menghadiahkan Malaysia pingat emas pertama di Sukan Paralimpik Paris 2024. Satu perkara yang cukup hebat untuk mendengar lagu Negaraku berkumandang di Paralimpik.

“Seperti yang telah dijanjikan, Liek Hou akan menerima ganjaran daripada kerajaan sebanyak RM1 juta dan elaun bulanan menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SITO) RM5000 sepanjang hayat,” kata Hannah dalam satu hantaran laman Facebook miliknya semalam.

Terdahulu, pemain berusia 36 tahun yang bertanding di bawah kategori SU5 (kecacatan fizikal) itu berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara badminton perseorangan lelaki selepas menewaskan Suryo Nugroho dari Indonesia 21-13, 21-15 di perlawanan akhir malam kelmarin.

Untuk rekod, Liek Hou sebelum ini pernah menerima insentif RM1 juta selepas meraih pingat emas Paralimpik pertama dalam kariernya pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Hannah turut memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh Liek Hou sepanjang perjalanannya dalam Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Saya tahu bapa anda bangga dengan pencapaian anda memenangi pingat emas kedua di Paralimpik. Liek Hou seorang pemain berkelas dunia, jadi kita tidak perlu risau dengan kekuatan mentalnya,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button