Insentif Rebat Rahmah pengamal media turut dinikmati pelanggan pelan prabayar
PUTRAJAYA – Sempena Bulan Kebangsaan 2024, pengamal media yang menggunakan pelan prabayar (prepaid) bakal menikmati Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media secara one-off pada bulan ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka semasa bertugas.
Menurut Kementerian Komunikasi, insentif itu terbuka kepada pengamal media warganegara Malaysia, pemegang Kad Perakuan Media dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang masih aktif.
Pada masa sama katanya, sedang melanggan pelan prabayar dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, Tunetalk, XOX Com dan YTL Communications.
“Pengamal media yang layak perlu mengemas kini nombor telefon prabayar dan maklumat lain berkaitan melalui Sistem eMedia JAPEN di pautan https://emedia.penerangan.gov.my/ sebelum 10 September 2024 untuk menikmati insentif ini bermula pada 16 September 2024,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu katanya, maklumat lanjut mengenai insentif itu akan diumumkan oleh syarikat telco yang terlibat.
Katanya, soalan Lazim (FAQ) boleh dirujuk di pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.